Semua orang didunia ini pastinya mempunyai seorang ibu dan seorang ayah. Sebelum melangkah keluar ke bumi Allah, kita tinggal di perut ibu lebih kurang Sembilan bulan. Ibu menjaga kita dengan penuh kasih sayang walaupun kita masih di dalam perut. Ibu mengajar kita bermacam-macam walaupun dia tidak pernah berjumpa kita. Bahkan kasih sayangnya terhadap kita telah wujud sejak dari kita masih dalam perut ibu.
Ayah pula membelai kita sewaktu kita dalam perut ibu.
Ayah sudah mula ‘berbual’ dengan kita yang masih belum bernyawa. Begitulah ayah mempamerkan kasih sayangnya terhadap walau ayah belum mengenali rupa anaknya. Ibu pula menjaga, mendidik, membesarkan kita meskipun ibu tidak tahu melakukannya. Ibu belajar melakukan segalanya untuk kita. Namun kita hanya menyempurnakan tanggungjawab kita sebagai seorang anak setelah kita mampu dan tahu apakah arti tanggungjawab itu.
Ibulah yang banyak mengurus hidup kita. Ibu melayan karenah kita meskipun ibu susah untuk ibu melakukannya tetapi ibu gagahkan diri demi anaknya. Ayah pula bekerja siang malam demi kesenangan anak-anaknya. Namun dunia masa kini memperlihatkan banyak anak-anak yang tega membuang ibu mereka demi mencapai kesenangan duniawi tanpa memikirkan jasa ibu mereka walau sedikit pun. Sabda Rasulullah, yang bermaksud:
Islam mengajar umatnya cara melayani ibubapa hatta cara berbicara sekalipun. Ini menjelaskan Islam mementingkan umatnya supaya berbuat baik terhadap ibubapa dalam segala hal. Dalam al-Quran sendiri terdapat banyak perintah supaya menghormati ibubapa dan menghargai susah payah mereka membesarkan kita.
Perintah menghormati ibubapa adalah yang kedua terpenting selepas Allah. Ini dinyatakan dalam surah al-An’aam ayat 151 yang bermaksud:
- “Katakanlah: Marilah kubacakan apa yang diharamkan Tuhanmu terhadapmu, yaitu janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan-Nya dan berbuat baiklah terhadap kedua ibu dan bapa.”
Perintah ini sangat penting sehingga ia dinyatakan dalam satu ayat. Taat kepada Allah seterusnya berbuat baik terhadap ibubapa. Ini adalah antara kewajipan yang diperintahkan Allah terhadap hamba-Nya supaya senantiasa taat dan patuh kepada ibu bapa dengan senantiasa berbuat baik kepada keduanya dan apabila berbicara dengan mereka hendaklah dengan menggunakan bahasa yang lembut.
Barangsiapa yang durhaka terhadap orang tuanya, tidak akan ciumlah dia bau syurga. Sesungguhnya ridha Allah terletak pada ridha ibubapa. Tidak perlu tunggu di akhirat karena Allah akan membalas segala perbuatan hamba-Nya yang durhaka terhadap ibubapa mereka di dunia ini.
- “Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan mendurhaka kepada dua ibu bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Antara azab yang ditanggung anak durhaka semasa di dunia ialah tidak mendapat keberkatan hidup, hidup menjadi tidak tenang, rumah tangga menjadi kucar kacir serta tidak dapat merasai kenikmatan hidup yang sebenar di dunia ini.
Dewasa ini, kebanyakan dari kita hanya menghulurkan wang kepada ibubapa tanpa menjenguk dikampung. Pada mereka, dengan memberikan wang kepada orang tua mereka, ini sudah dikira membalas jasa mereka. Sadarlah, bahwa mereka sebenarnya lebih memerlukan kasih sayang dan perhatian daripada kita dari wang yang diberi. Meskipun wang mampu membeli apa saja tetapi wang tidak mampu menggembirakan mereka. Mereka hanya mau anak-anak mengisi masa mereka bersama-sama.
Namun ada juga yang tidak memberikan wang kepada orang tua mereka, bahkan tidak menjenguk mereka dikampung. Situasi ini dapat dilihat dari sekeliling kita. Kehendak ibubapa amatlah mudah untuk kita lakukan berbanding kehendak kita semasa kita masih kecil. Akan tetapi ibubapa sanggup mengerah tenaga demi memenuhi keinginan kita. Anak-anak sebaliknya.
Jika kita renungkan, jarang sekali ibubapa memberitahu hajat mereka, namun kita sebagai anak haruslah memahami mereka. Berbeda dengan kita yang sering kali meminta-minta kepada mereka.
Sebagai anak, wajib kita berbakti terhadap mereka dengan sebaik-baiknya selari dengan perintah Islam. Dalam al-Quran terdapat banyak doa-doa untuk kesejahteraan mereka.
- “Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka telah mendidik aku pada waktu kecil” (al-Isra’, 17: 24)
Hidup ini sangat pendek. Hargailah mereka selagi mereka masih ada. Bahagiakanlah mereka selagi mereka masih bernyawa. Mereka berhak mendapatkan kebahagian dan kesenangan daripada kita sebagai anaknya. Sesungguhnya tugas seorang anak tidak akan terhenti setelah mereka meninggalkan kita, bahkan akan terus bersama kita.
Rasullah bersabda,
“Apabila meninggal dunia seorang anak Adam maka putuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah yang ditinggalkan semasa hidup, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya. Oleh: syahidatun najihah aziz