"Cinta itu cahaya sanubari, kurniaan Tuhan untuk insani
Rasa bahagia biarpun sengsara, berkorban segala-gala"
Lirik lagu nasyid "Karena Cinta" ini singgah sebentar di minda ini bila menulis tajuk ini.
|
C.I.N.T.A |
Seringkali perkataan ini bermain-main di fikiran dan seringkali juga ia menjadi tanda tanya orang-orang di sekelilingku bila cinta sejati akan menjemputku. Bukan tidak pernah diintai oleh sang kumbang, tetapi tanpa ikatan yang sah, aku tidak akan sekali-kali membenarkan sang kumbang itu menjemputku apalagi singgah untuk menjengukku.
Hati ini pernah sekali tercuit dengan perasaan itu, tidak seperti selalu yang bermati-matian untuk aku mempertahankannya. Tetapi kali ini, aku rasa perasaan itu sudah semakin menebal..
Dalam fikiranku, adakah aku telah JATUH CINTA?? Tidak mungkin! Aku katakan pada diriku sendiri bahawa perasaan itu hanya kerana merasa kosong dan cemburu melihat kawan-kawan sekeliling yang sudah bahagia bersama pasangan masing-masing. Untuk menghilangkan perasaan itu, aku hanya bercerita kepada Yang Labih Berhak iaitu Allah SWT. Hanya Allah pemilik hati ini dan hanya Allah yang lebih tahu mana yang terbaik buatku
Setiap malam aku bermuhasabah, bermunajat dan mengharap hanya kepada Allah agar perasaan itu akan hilang. Walaupun tidak secara terus tetapi dengan mendekatkan diri kepada Allah, aku berasa tenang kembali. Tidak seperti sebelum-sebelum ini, hanya mengingatkan dia yang belum halal bagiku dan belum tentu halal bagiku.
Alhamdulillah dengan mendekati Sang Pencipta, diri ini terasa amat tenang dan mampu tersenyum kembali.
Hari-hari yang dilalui terisi kembali dan semakin hari terus melupakan perkara-perkara yang menyebabkan perasaan bergelora dan syaitan menyucuk jiwa.
"Mereka berkata hidup perlukan cinta
Agar sejahtera aman dan bahagia
Andai tiada atau pudar warnyanya
Meranalah jiwa gelaplah dunia
Warna-warna cinta
Yang terlukis di hatimu
Semat pada senyuman dan tangismu.." Lagu "Warna-warna Cinta" nyanyian kumpulan Brothers sedikit sebanyak menyedarkan aku, sebenarnya cinta yang diperlukan oleh jiwa dan hati kita ialah cinta kepada ALLAH SWT.
Cinta ini tidak akan layu, tidak akan pudar, tidak akan mengecewakan, tidak akan merugikan, dan segala jenis tidak. Malahan ia semakin menambahkan kelebihan pada diri kita, menambahkan kebahagiaan, menambahkan senyuman dan meningkatkan darjat kita sebagai hamba Allah.
Pesanan untuk diri dan sahabat-sahabatku di luar sana, jangan kita mengejar cinta manusia selagi cinta kepada Allah belum terlaksana dengan sebaiknya.
(iluveislam.com)